Ismail Sabri ucap takziah pemergian ibu Dr Wan Azizah
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atas pemergian ibu bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Allahyarham Datin Mariah Khamis, pagi tadi.
“Bagi pihak Keluarga Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada Dr Wan Azizah dan keluarga atas pemergian bonda tercinta, Datin Mariah Khamis.
“Semoga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” katanya menerusi Facebook, sebentar tadi.
Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, solat jenazah ibu mentuanya itu dijadualkan pada jam 11.30 pagi ini di Masjid Al-Mustaqim, Ampang, Kuala Lumpur.
“Baru mendapat khabar sedih dari Kuala Lumpur bahawa bonda kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail Allahyarhamah Mariah Khamis telah kembali ke rahmatullah awal pagi tadi,” tulisnya di Facebook.
Justeru, Anwar juga memohon maaf kerana terpaksa membatalkan program Jelajah Pakatan Harapan (PH) Sarawak yang sepatutnya berlangsung di Miri dan Kuching, hari ini. – Malaysiapost