MetMalaysia nafi video cuaca buruk luar biasa, hujung bulan ini
JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menafikan rakaman video tular di media sosial, yang menyatakan negara akan berdepan cuaca buruk luar biasa, hujung bulan ini.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata sehingga kini pihaknya tidak menjangkakan negara berdepan cuaca buruk luar biasa pada penghujung Oktober ini.
“Melalui pemantauan terkini, keadaan cuaca di negara ini sedang dipengaruhi oleh penumpuan angin di Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah sehingga hujung bulan bulan berpotensi menyebabkan keadaan cuaca lembap di kebanyakan negeri.
“Sehubungan itu, MetMalaysia semalam, sudah mengeluarkan Ramalan Cuaca Signifikan.
“Bagaimanapun, pada masa sama, satu sistem tekanan rendah terbentuk di timur Filipina dan dijangka bergerak ke arah barat dan barat laut menjauhi rantau negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu sebagai penjelasan berhubung video cuaca buruk luar biasa, yang dikatakan berlaku hujung bulan ini seperti tular di media sosial.
Muhammad Helmi, bagaimanapun berkata, kewujudan sistem itu memberi sedikit kesan terhadap keadaan laut.
Katanya, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dikeluarkan hari ini dengan kelajuan angin antara 40 hingga 50 kilometer sejam dan ketinggian ombak mencapai 3.5 meter dijangka boleh berlaku di kawasan perairan Condore, Reef North dan Layang-Layang dalam tempoh 27 hingga 30 Oktober.
Beliau berkata, MetMalaysia akan terus memantau dan memaklumkan perubahan cuaca signifikan dari semasa ke semasa.
Justeru, orang ramai diingatkan supaya mendapatkan maklumat sahih berkenaan ramalan dan amaran cuaca, melalui laman web rasmi dan laman media sosial rasmi MetMalaysia atau melalui talian hotline 1-300-22-1638 dan aplikasi myCuaca. – Malaysiapost