PRU15: Idris Jusoh tidak pertahan Besut
PENYANDANG kerusi Parlimen Besut, Tan Sri Idris Jusoh mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi memberi laluan kepada pemimpin muda.
Beliau yang juga Pengerusi FELDA berkata, keputusan itu bagi memberi laluan kepada calon yang lebih muda seiring dengan hasrat Umno untuk meremajakan parti.
Menurutnya, beliau yakin masa depan Umno akan jadi lebih bertenaga dan diminati pengundi dengan barisan kepimpinan muda.
“Sebenarnya, saya telah buat keputusan untuk tidak bertanding sejak tahun 2013 bagi memberi laluan kepada pimpinan muda meneruskan legasi parti.
“Ketika itu, saya menyatakan hasrat saya kepada Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Umno. Namun atas kehendak parti, saya akur dan kekal teruskan khidmat demi parti dan negara.
“Meskipun begitu, pada tahun yang sama saya telah melepaskan jawatan Ketua Umno Bahagian Besut kepada pimpinan baharu sebagai salah satu perancangan saya untuk berundur secara beransur-ansur dalam arena politik,” katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Idris berkata, dengan peningkatan usianya mencecah 67 tahun ketika ini, adalah masa yang tepat untuk beliau memberi laluan kepada pemimpin muda.
“Terima kasih kepada semua pengundi dan rakyat yang telah menyokong saya sebelum ini serta parti yang tanpa jemu telah memberi kepercayaan kepada saya hingga kini.
“Saya doakan Umno dan Barisan Nasional (BN) akan terus berjaya. Saya juga akan terus bekerja kuat untuk memastikan BN terus menempa kemenangan dalam PRU15,” katanya. – Malaysiapost