PRU15: Janji TPM lebih seorang didakwa tawaran ‘mi segera’

PRU15: Janji TPM lebih seorang didakwa tawaran ‘mi segera’

CADANGAN jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) diisi lebih daripada seorang calon termasuk dari Sabah dan Sarawak dilihat sebagai janji ‘mi segera’ mereka yang terdesak mencari sokongan untuk menang pilihan raya.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan cadangan itu cuma janji politik sekadar memenuhi permintaan parti politik di Sabah dan Sarawak.

“Tawaran bersifat ‘mi segera’ adalah gambaran kumpulan terdesak. Saya yakin apa saja yang diminta kepada kumpulan terdesak ini, akan dijanjikan.

“Minta sungai pun mungkin diluluskan namun persoalannya apakah ia wajar dan baik untuk masa depan negara,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Tuan Ibrahim menegaskan kewujudan jawatan TPM dalam kerajaan tidak perlu disandarkan kepada keperluan bagi pembangunan sesuatu wilayah sebaliknya signifikan kepada seluruh negara.

“Tidak perlu wujud jawatan TPM bagi satu wilayah saja. Ia hanya akan menambah kos bagi kerajaan.

“Selama lebih 60 tahun kita merdeka, semua wilayah diberi perhatian sama. Bahkan kita telah wujudkan jawatan Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan tawaran spontan yang dibuat tanpa perancangan yang rapi.

“Berdasarkan pengalaman Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan, pelbagai janji dibuat dalam buku khas manifesto tetapi tidak dilaksanakan selepas mereka berkuasa,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Barisan Nasional (BN) dan PH mencadangkan jawatan TPM diisi lebih daripada seorang dengan salah satu jawatan itu dilantik dalam kalangan wakil dari Sabah, Sarawak. – Malaysiapost

Komen