PRU15: Lantik 3 TPM lebih jimat – Ahmad Maslan
TAWARAN melantik wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang diumumkan Barisan Nasional (BN) semalam bukanlah pembaziran malah ia adalah langkah penjimatan.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata jawatan tiga TPM itu adalah lebih baik berbanding membayar gaji dan elaun kepada empat Menteri Kanan yang dipraktikkan kerajaan campuran ketika ini.
“Langkah melantik tiga wakil TPM dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung bukanlah pembaziran malah ia sebenarnya lebih menjimatkan.
“Kita boleh hentikan jawatan empat Menteri Kanan sebelum ini untuk digantikan dengan tiga TPM. Sudah pasti empat Menteri Kanan lebih besar peruntukan gaji dan elaun mereka berbanding tiga TPM.
“Jadi bagi saya, jawatan empat Menteri Kanan yang ditiadakan itu adalah pilihan terbaik apatah lagi alternatifnya adalah tiga TPM.
“Sudah pasti tiga TPM itu dikhususkan tugasan mereka bagi masing-masing membantu Perdana Menteri di Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata, jaminan melantik wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung mengisi jawatan TPM, adalah ‘game changer’ untuk BN menghadapi PRU-15.
Katanya, kejutan yang diumumkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN di Sabah itu, sudah pasti akan menjadikan tawaran manifesto gabungan itu lebih menarik dan istimewa.
Semalam media melaporkan jaminan melantik wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung mengisi jawatan TPM itu akan dimasukkan dalam manifesto BN sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata, jawatan tiga TPM itu akan diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan Persekutuan pada PRU-15 nanti. – Malaysiapost