PRU15: Mas Ermieyati jangka BN letak calon ‘heavyweight’ di Masjid Tanah
DATUK Mas Ermieyati Samsudin menjangkakan Barisan Nasional (BN) bakal meletakkan calon ‘heavyweight’ atau nama besar menentangnya di Parlimen Masjid Tanah pada pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau yang diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pertama di kerusi itu malam kelmarin, berkata BN dikatakan akan mencalonkan seseorang yang berjawatan tinggi dalam sektor awam untuk mencabarnya.
“Kita menjangkakan calon ‘heavyweight’ BN, jadi saya mesti kerja kuat untuk memberikan penjelasan kepada pengundi mengenai visi dan misi saya jika dipilih sebagai Ahli Parlimen.
“Bukan mudah untuk berhadapan dengan calon sedemikian. Yang penting, saya tetap berusaha gigih untuk memastikan kerusi Parlimen Masjid Tanah milik PN,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Mengulas lanjut, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu berkata, kempen terbuka yang dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal dimanfaatkan untuk bertemu seramai mungkin pengundi.
Terdahulu, Mas Ermieyati diumumkan sebagai calon pertama PN bagi kerusi Parlimen oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika majlis pelancaran jentera pilihan raya PN Melaka di Kampung Paya Lebar, malam kelmarin.
Menurut Muhyiddin, Mas Ermieyati dipilih berdasarkan rekod perkhidmatannya selama menjadi Ahli Parlimen kawasan itu sejak 2013.
Sebelum ini, ada desas-desus BN bakal meletakkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk merampas kerusi Masjid Tanah daripada Bersatu yang dimenangi Mas Ermieyati atas tiket BN sebelum beliau keluar parti selepas PRU14.
Pada PRU-14, Mas Ermieyati menang dengan majoriti 8,159 undi selepas menewaskan Datuk Dr Sabirin Ja’afar dari PKR dan Nasir Othman (PAS). – Malaysiapost