Royalti minyak: ‘Muhyiddin janganlah tipu rakyat Kelantan lagi’ – Pemuda Amanah

Royalti minyak: ‘Muhyiddin janganlah tipu rakyat Kelantan lagi’ – Pemuda Amanah

TAN Sri Muhyiddin Yassin diingatkan supaya tidak menipu rakyat Kelantan sekali lagi kononnya akan memberi royalti minyak kepada negeri itu jika Perikatan Nasional (PN) kembali mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hisyamudin Ghazali, berkata ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri beliau memberi pelepasan Cukai Jualan Negeri (SST) bernilai lebih RM2.9 bilion kepada Sarawak, namun Kelantan tidak menerimanya.

“Tindakan politik itu semata-mata untuk dapat sokongan 18 Ahli Parlimen Sarawak untuk jadikan kamu (Muhyiddin) sebagai Perdana Menteri. Walaupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya ada 18 Ahli Parlimen sama banyak dengan PAS, 18.

“Kelantan dinafikan dapat Royalti penuh, permainan Istilah Royalti – Wang Ehsan pun tidak mampu diselesaikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Hisyamudin, Kelantan hanya menemui ‘tuah’ ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah dengan memberi RM418.9 juta tunai ke akaun Kerajaan Kelantan pada 2019 dan 2020.

“Terengganu juga dapat royalti RM1 billion lebih waktu Pakatan Harapan memerintah,” katanya.

Beliau berkata, ketika PN memerintah Kelantan dianaktirikan selain 18 Ahli Parlimen PAS hanya jadi ‘tunggul kayu’ di Parlimen.

Justeru, beliau menyeru rakyat Kelantan, supaya jangan terpedaya dengan janji PN berhubung pemberian royalti minyak berkenaan.

“Pakatan Harapan sudah buktikan, waktu memerintah Malaysia mereka telah bagi duit lima peratus Bayaran Tunai ke Terengganu dan Kelantan yang dinafikan oleh BN.

“Ayuh Kelantan, kita bagi sokongan penuh kepada calon-calon Pakatan Harapan, bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri.

“InsyaAllah Kelantan dapat royalti penuh, termasuk pengeluaran petroleum di sempadan Malaysia- Thailand, Malaysia-Vietnam dan Kelantan-Terengganu,” katanya.

Kelmarin, PN berjanji membayar royalti minyak sepenuhnya kepada Kelantan sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15 nanti.

Perkara itu dilontarkan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN ketika berucap pada majlis himpunan penyatuan ummah di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam kelmarin. – Malaysiapost

Komen