Sofizah, Mohamed Sameer johan MTHQA ke-62

Sofizah, Mohamed Sameer johan MTHQA ke-62

QARIAH Malaysia, Sofizah Mousin dinobatkan sebagai johan bagi kategori wanita pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-62, yang berlangsung di ibu negara, malam tadi.

Sofizah dari Selangor memperoleh markah sebanyak 89.66 peratus.

Bagi kategori lelaki, qari dari Bahrain iaitu Mohamed Sameer Mohamed Magahed berjaya menjadi johan dengan markah 93.33 peratus.

Kedua-dua pemenang tempat pertama itu membawa pulang hadiah berupa piala dan sijil penghargaan beserta wang tunai.

Tempat kedua kategori lelaki, dimenangi qari Malaysia, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dengan markah 88.83 peratus, manakala tempat ketiga, Muhammad Rizqon dari Indonesia (88.33 peratus).

Qariah dari Singapura, Widadul Wahidah Mahamod merangkul naib johan dengan markah 87.50 manakala Yuni Wulandari Hasim (Indonesia) memperoleh markah 87.49 peratus.

Penyampaian hadiah tersebut telah disempurnakan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

MTHQA ke-62 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 19 hingga 24 Oktober membabitkan penyertaan 36 individu bagi kategori tilawah dari 28 negara termasuk Malaysia.

Malaysia adalah tuan rumah bagi penganjuran MTHQA setiap tahun dan pernah menerima pengiktirafan bagi kategori Penganjuran Program al-Quran Terbaik 2016 dari Kuwait International Prize of Holy Quran. – Malaysiapost

Komen