Syed Sobri keluar Bersatu
KETUA Bahagian Bersatu Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim, hari ini mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta kerana hilang kepercayaan terhadap pimpinan Bersatu.
Beliau mendakwa, lebih 1,000 ahli parti bahagian itu dan empat ketua serta ahli jawatankuasa beberapa cawangan di Padang Terap turut mengambil tindakan sama.
“Keputusan ini dibuat atas kerelaan tanpa paksaan atau habuan pihak tertentu, ini bukan sebab pilihan raya atau gila jawatan.
“Saya pernah jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang ketika masih bersama Barisan Nasional (BN) bermula 2008 hingga 2013, selain memegang jawatan Ketua Bahagian Bersatu,” katanya hari ini.
Berikutan itu, beliau memilih untuk mendukung BN dan akan memberi sokongan penuh kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid, sekiranya dicalonkan.
“Saya bersama ahli yang keluar parti berada dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Penggerak Masyarakat Padang Terap yang saya tubuhkan bagi memberi sokongan kepada calon BN,” katanya.
Syed Sobri mendakwa, perjuangan Bersatu kelihatan kabur dengan peruntukan untuk Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga tidak diberikan.
“Sebahagian besar pimpinan Bersatu ini diulit kuasa dan jawatan seolah-olah berada di kayangan, nasib rakyat di bawah termasuk pimpinan akar umbi tak terbela.
“Di Kedah ini, Bilik Gerakan Bersatu negeri di Alor Setar pun tak berfungsi dan selalunya gelap.
“Di Padang Terap ada 31 PDM dan setiap satu memerlukan RM3,00 hingga RM4,000 untuk beroperasi tetapi peruntukan tak ada,” dakwanya. – Malaysiapost