Zahid senarai 10 ‘kerosakan’ dibuat PH ketika tadbir negara

Zahid senarai 10 ‘kerosakan’ dibuat PH ketika tadbir negara

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas alasan Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa tempoh 22 bulan tidak cukup panjang untuk gabungan itu menjadi kerajaan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata beliau lega kerana PH hanya mentadbir negara selama 22 bulan sahaja, sekiranya lebih lama tidak mustahil semakin banyak kerosakan dilakukan terhadap negara.

Malah, Ahmad Zahid turut menyenarai 10 ‘kerosakan’ yang dibuat PH walaupun hanya 22 bulan mentadbir negara termasuk melantik peguam kepada Setiausaha Agung DAP sebagai Peguam Negara.

“PH melantik aktivis PKR sebagai Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Menteri Kewangannya membuat kenyataan rasmi berbaur politik sehingga menjejaskan pasaran saham.

“(Selain) Perdana Menterinya membuat kenyataan yang menjejaskan hubungan diplomatik dan ekonomi Malaysia, perkembangan ekonomi jadi paling perlahan sejak suku ketiga 2009 (walaupun) masa itu Covid-19 belum menular,” katanya menerusi Facebook.

Malah, beliau berkata, ketika pentadbiran PH, kebajikan rakyat dikurangkan termasuk bantuan tunai dengan pelbagai alasan termasuk mendakwa Barisan Nasional (BN) ‘memanjakan’ rakyat.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, ‘kerosakan’ lain yang dibuat PH termasuk tidak menghantar wakil membela Malaysia dalam isu tuntutan waris kesultanan Sulu, sebaliknya mereka menulis surat ‘mengaku salah’.

“Malaysia terlepas kedaulatan Pulau Batu Puteh apabila PH menarik balik semakan penghakiman.

“PH menjual aset-aset negara dengan alasan pembaziran, tetapi hutang negara terus meningkat.

“Selain itu, projek-projek infrastruktur untuk rakyat diganggu-gugat dan ‘difaraidkan’ antara kroni,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, banyak lagi kerosakan yang PH lakukan ketika memerintah namun 10 perkara berkenaan sudah cukup untuk membuka mata rakyat.

Justeru, rakyat diingatkan berhati-hati apabila didekati ‘bisikan’ memperdaya minda supaya PH dipilih untuk menjadi kerajaan sekali lagi.

“Jangan biarkan mereka fikir rakyat terlalu naif dan semudah itu untuk masuk ke perangkap yang sama.

“Yakini Barisan Nasional (BN) demi Malaysia bangkit untuk masa depan negara kembali cemerlang dan gemilang,” katanya. – Malaysiapost

Komen