Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Singapura hari ini

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Singapura hari ini

YANG di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong hari ini berangkat ke Singapura bagi memulakan lawatan negara sehingga Jumaat ini.

Istana Negara memaklumkan pesawat khas membawa Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9.45 pagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin hadir untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka berdua.

Turut hadir mengucapkan selamat berangkat ialah Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Sebelum berangkat, Seri Paduka berdua menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja dengan diiringi tembakan meriam 21 das dan lagu Negaraku.

Keberangkatan Seri Paduka berdua diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak dan pegawai Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Luar. – Malaysiapost

Komen