Anwar tak layak dinamakan calon PM – Dr Latiff
PAKATAN Harapan (PH) tidak wajar menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata ini kerana kes mahkamah difailkan bekas pembantunya, Yusof Rawther terhadap beliau belum selesai.
Katanya, mama yang dicalonkan oleh parti-parti politik sebagai Perdana Menteri perlulah nama yang sesuai dihantar ke Istana Negara.
“Dalam keadaan ini, terpulang kepada PH untuk bertanggungjawab dan mengkaji semula pencalonan bagi jawatan Perdana Menteri.
“Mereka perlu menghormati proses pilihan raya negara dengan memastikan semua calon, terutama calon Perdana Menteri adalah bersih dan penuh integriti.
“Sehingga Mahkamah Tinggi memberi suatu keputusan dalam kes Yusoff, Anwar tidak layak dinamakan calon Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Abdul Latiff, pada 19 Oktober lalu, Yusof menang suatu kes saman berkaitan isu ini terhadap setiausaha akhbar Anwar, apabila mahkamah memerintahkan ganti rugi RM200,000 dan kos dibayar kepada Yusof.
“Di mana-mana negara di dunia, adalah satu kebiasaan apabila seorang pemimpin menghadapi tuduhan salah laku seksual di mahkamah, maka beliau perlu menarik diri dari sebarang pilihan raya atau jawatan kerajaan sehingga selesai kes mahkamah tersebut.
“Ini untuk memastikan hanya pemimpin bersih dan bermoral tinggi memegang jawatan kerajaan yang penting bagi memelihara keyakinan umum dan reputasi negara,” katanya.
Pada 14 Julai 2021, Yusof membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi terhadap Anwar berhubung dakwaan serangan seksual yang didakwa berlaku pada 2018 di kediaman Presiden PKR tersebut. – Malaysiapost