Bersatu Perlis sokong wakil PAS jadi MB.
BERSATU Perlis akan menyokong penuh wakil PAS dilantik sebagai Menteri Besar, sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, PAS yang sudah lama bertapak di Perlis pastinya mempunyai pengalaman luas untuk mentadbir kerajaan negeri nanti.
“Kita (Bersatu Perlis) anggap PAS sebagai ‘abang’ dan sedia memberi sokongan jika Menteri Besar Perlis nanti dilantik daripada wakil rakyat PAS,” katanya dipetik Bernama.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini dilaporkan memberi bayangan bahawa calon Menteri Besar akan dilantik daripada PAS jika PN berjaya menawan Perlis.
Perlis mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga kerusi Parlimen.
Abu Bakar berkata, beliau tidak melihat perkara itu merugikan Bersatu kerana misi utama parti menerusi gabungan PN adalah untuk mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN).
“Misi utama kita adalah membangunkan Perlis dan membawa perubahan kepada rakyat negeri ini,” katanya.
Abu Bakar, yang disebut-disebut akan bertanding di kerusi DUN Kuala Perlis, berkata hasil perbincangan dengan PAS sebelum ini secara dasarnya Bersatu akan bertanding di enam kerusi DUN, manakala PAS di sembilan kerusi DUN.
Untuk Parlimen, katanya, Bersatu hanya akan meletakkan calon di satu kerusi iaitu Kangar, manakala dua lagi adalah PAS. – Malaysiapost