Bomba letakkan anggota di pusat mengundi berisiko banjir
JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menempatkan anggotanya di beberapa lokasi pusat mengundi yang berisiko berlaku bencana banjir sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, ia berdasarkan maklumat jangkaan banjir yang diperoleh daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Jadi kita akan letak anggota di lokasi pangkalan hadapan di dalam keadaan paling tinggi,” katanya selepas merasmikan Forum Bicara Governans Integriti dan Antirasuah (BiGIAR) Siri 2 2022 JBPM di Dewan Konvokesyen Universiti Antarabangsa Al-Bukhari, Alor Setar, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, jumlah anggota terbabit tidak akan menjejaskan kesiapsiagaan 12,500 pegawai dan anggotanya di seluruh negara yang telah bersedia menghadapi banjir susulan Monsun Timur Laut.
“JBPM sudah pun berada dalam keadaan siap siaga sejak banjir besar yang melanda Shah Alam pada penghujung tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa peka dengan perubahan cuaca terutamanya kejadian banjir yang mungkin akan berlaku di luar kawasan ‘hot spot’ yang sudah dikesan.
Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata, mengikut statistik hanya dua kes rasuah dilaporkan pada tahun 2021 melibatkan pegawai dan anggota JBPM seluruh negara. – Malaysiapost