Cakap kosong dan tabur janji palsu dengan alasan debat bukan cara saya – PM

Cakap kosong dan tabur janji palsu dengan alasan debat bukan cara saya – PM

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bercakap kosong dan menabur janji palsu dengan menggunakan alasan debat seperti yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14(PRU14), bukanlah cara beliau.

Perdana Menteri berkata, adalah lebih baik beliau menumpukan kerja dan khidmat bakti kepada rakyat selain lebih prihatin kepada persediaan menjelang PRU15 dari segi keselamatan rakyat.

“Adalah lebih baik saya menyantuni dan bertemu sendiri rakyat dari pelbagai kaum serta lapisan masyarakat sebagai sebuah keluarga,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Menurut Ismail Sabri, beliau diajukan soalan mengenai cadangan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan debat calon Perdana Menteri dalam sidang media selepas menghadiri taklimat khas sempena PRU15 dan Monsun Timur Laut 2022, di Bukit Aman, hari ini.

Naib Presiden Umno itu turut meminta Anwar supaya berhenti meraih populariti dengan berbekalkan janji manis dalam pengucapan debat.

“Beliau (Anwar) perlu mempunyai rasa belas ihsan pada nelayan, petani, walhal anak muda yang telah tertipu dengan pelbagai retorik debat yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyarankan Anwar untuk berdebat ketika persidangan Parlimen diadakan selepas PRU15.

“Saya sarankan beliau berdebatlah ketika waktu Parlimen diadakan selepas kerajaan baharu yang dipilih rakyat nanti.

“Atau mungkin di pentas parti masing-masing, dan di situ, tiada siapa pun yang menghalang kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi,” katanya. – Malaysiapost

Komen