Gerhana Matahari Separa berlaku petang ini

Gerhana Matahari Separa berlaku petang ini

SATU fenomena dikenali sebagai Gerhana Matahari Separa dilaporkan berlaku pada petang ini.

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam hantaran Facebook, berkata fenomena itu dijangka berlaku dari jam 4.58 petang dan berakhir 9.02 malam waktu Malaysia.

Bagaimanapun, katanya fenomena tersebut tidak dapat dilihat di negara ini.

Ujarnya, fenomena tersebut berlaku kerana laluan bayang-bayang penumbra bulan tidak melalui mana-mana kawasan di Malaysia pada waktu tersebut.

“Sebaliknya Laluan Gerhana Matahari Separa (Lintasan Bayang Penumbra Bulan) ini akan bermula dari Iceland ke Russia dan akan berakhir di Laut Arab.

“Jadi penduduk yang berada di Eropah, bahagian timur laut Afrika, bahagian timur tengah dan barat Asia akan dapat menyaksikan fenomena alam itu,” katanya dalam hanatran itu.

MYSA berkata, fenomena Gerhana Matahari Separa itu berlaku pada 4.2 hari sebelum bulan berada pada kedudukan perigee, iaitu titik orbit bulan yang berada pada kedudukan terdekat dari bumi dengan jarak 368,287 kilometer.

“Gerhana maksimum pada 25 Oktober 2022 ini akan berlaku di hemisfera utara pada koordinat 61° 38′ 55.6″ U, 77° 20′ 44.7″ T apabila 82.11 peratus permukaan matahari diliputi oleh bulan,” ujarnya.

Katanya lagi, laluan Gerhana Matahahari Separa (Lintasan Bayang Penumbra Bulan) ini akan bermula dari Iceland ke Rusia berakhir di Laut Arab. – Malaysiapost

Komen