Guna logo berbeza: Tiada kesepakatan antara parti gabungan lain

Guna logo berbeza: Tiada kesepakatan antara parti gabungan lain

KEPUTUSAN parti komponen gabungan lain menggunakan logo masing-masing dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) membuktikan tiada kesepakatan antara mereka.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata itulah antara anasir senyap yang membawa kepada pembentukan kerajaan yang tidak stabil dan ‘caca marba’.

“Tiada kesepakatan dan kebersamaan antara mereka walaupun pada perkara yang asas iaitu penggunaan logo.

“Jelas memberi mesej mereka ini sanggup tidur sebantal’ demi merebut kuasa, tetapi mimpi adalah lain-lain’.

“Pada akhirnya yang menjadi mangsa kepada ketidakstabilan ini adalah rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, menggunakan logo yang sama adalah lambang sebuah kerjasama dan kebersamaan setiap komponen parti politik yang bernaung di bawahnya.

“DAP tidak mahu menggunakan lambang Pakatan Harapan (PH) di kawasan tertentu sebaliknya mahu menggunakan logo roket.

“Pemimpin PAS mahu gunakan logo bulan di negeri dikuasainya walau sudah mengikrarkan kesetiaan kepada Perikatan Nasional (PN).

“Tentu ramai masih ingat PKR walaupun parti komponen PH menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, rakyat wajar menilai perbezaan ini dalam membuat penentuan yang amat penting kepada Malaysia pada PRU-15.

“Yakini BN satu-satunya gabungan politik menawarkan sebuah kemuafakatan serta perpaduan yang jujur dan ikhlas.

“Dunia diramalkan berdepan kemelesetan ekonomi global pada tahun depan. Justeru, negara kita perlu berada dalam posisi paling kukuh dan stabil untuk mendepaninya,” katanya. – Malaysiapost

Komen