Ismail Sabri harap dapat bekerjasama dengan Rishi Unak
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah atas pelantikan Rishi Sunak sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK) yang baharu.
Beliau berharap hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua negara Malaysia dan UK akan diperkukuhkan lagi.
“Dalam kita meniti hubungan erat kedua-dua negara yang telah terjalin 65 tahun yang lalu, saya amat berbesar hati dengan pencapaian yang telah dikecapi setakat ini.
“Malaysia dan UK telah menikmati hubungan yang mesra dan produktif, disokong oleh kerjasama dalam pelbagai aspek serta saling menguntungkan, terutamanya dalam sektor perdagangan dan pelaburan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ni.
Menurutnya dengan hubungan kedua-dua negara yang akrab, sejarah dan aspirasi bersama sememangnya telah membawa manfaat yang amat besar kepada rakyat kedua-dua negara.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Tuan Yang Terutama Rishi Sunak untuk meraih potensi hubungan kedua-dua negara.
“Saya yakin, dengan dedikasi dan kepimpinan Tuan Yang Terutama, kerjasama sedia ada ini akan terus diperkukuh.
“Saya juga mengambil kesempatan ini mendoakan Tuan Yang Terutama diberikan kesihatan dan kebahagiaan yang berterusan, dan buat rakyat UK, semoga akan terus menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran,” katanya. – Malaysiapost