Pas punca hubungan MN ‘redup’ – Mohd Khairuddin

Pas punca hubungan MN ‘redup’ – Mohd Khairuddin

AHLI Pas perlu bertanya kepada kepimpinan parti sama ada keputusan tidak meneruskan kerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mendapat kelulusan Majlis Syura Ulamak atau sebaliknya.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, mendakwa beliau difahamkan dalam pertemuan terakhir pemimpin kedua-dua parti antara Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dengan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan telah dipersetujui untuk Pas bersama Umno.

Menurutnya, keputusan kerjasama itu bagaimanapun berubah selepas mesyuarat bersama Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sampai 24 jam selepas perbincangan dengan Umno.

“Saya dimaklumkan Datuk Seri Ahmad Zahid telah mempersetujui untuk Pas bersama Umno, kemudian berlaku perubahan selepas mesyuarat dengan Tan Sri Muhyiddin dan dibuat keputusan untuk tidak bersama (Umno).

“Jadi keputusan ini adakah keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulamak! Ini soalan yang ahli Pas perlu tanya. Keputusan yang dibuat oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat Pas untuk tidak adakan kerjasama dalam MN adakah itu keputusan Majlis Syura Ulamak yang merupakan badan tertinggi parti. Ahli Pas berhak bertanya kepimpinan parti tentang perkara ini,” katanya.

Beliau yang juga penyandang Parlimen Kuala Nerus berkata demikian dalam program ‘Jawab, Saya Tanya – PRU 15 – Ruginya Melayu Islam?’ di Nrchanneltv di Facebook malam tadi.

Mohd Khairuddin turut menjelaskan apa punca ‘redupnya’ hubungan Pas dengan Umno yang didakwanya disebabkan Pas terlalu cenderung kepada Bersatu hingga meninggalkan Umno.

“Adakah itu tuduhan? Tidak bukan tuduhan, ia realiti yang berlaku..kecenderungan kepada Bersatu hingga mengenepikan Umno. Buktinya adalah beberapa kali Umno minta dibuat mesyuarat untuk menyegarkan MN tetapi tidak dipedulikan oleh kepimpinan Pas.

“Saya di situ (Majlis Syura Ulamak) ketika itu dan saya boleh mengatakan ia memang Umno minta berulang kali untuk dibuat mesyuarat MN untuk menyegarkannya dan tidak mengenepikan hak Pas untuk kekal bersama dalam Perikatan Nasional (PN) pada peringkat awalnya kerana Umno kata itu hak Pas untuk berpakat dengan Bersatu dan meneruskan PN tetapi jangan kuburkan, redupkan atau jangan sejukkan MN,” katanya.

Beliau berkata, pimpinan Umno berulang kali minta untuk menyegarkan kembali hubungan, tetapi yang ‘menyejukkannya’ ialah pihak Pas pada ketika itu hingga akhirnya berlakulah apa yang berlaku sekarang ini.

“Maka bila punca ‘gersangnya’ hubungan itu ialah kerana adanya Bersatu menerusi PN, menyebabkan Umno menetapkan syarat jika mahu kembali kerjasama iaitu tinggalkan Bersatu. Kalau Pas setuju silakan, kalau tak bersetuju itu hak dia. Bagi saya itu hak Umno untuk berikan syarat.

“Apatah lagi pimpinan Bersatu masih berulang kali menyatakan bahawa Barisan Nasional (BN) adalah musuh mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan sejarah penubuhan MN antara Pas dan Umno yang melalui proses yang panjang berbanding penubuhan PN.

“Usaha untuk penyatuan Pas dan Umno adalah keputusan Majlis Syura Ulamak pada 2013 yang diperbaharui pada 2015 yang akhirnya berjaya dilaksanakan apabila kedua-duanya menjadi pembangkang itu sejarahnya.

“Untuk sampai ke tahap Piagam MN pada 14 September 2016 ia melalui proses dalam parti yang sangat panjang iaitu bermula dari persetujuan Majlis Syura Ulamak ke AJK Pusat dan ke Muktamar Pas dua kali.

“Proses yang sangat panjang itu melalui semua tahap. Maka dengan pelbagai proses yang dilalui pasti ia ada keberkatannya. Itulah suara rakyat, suara ahli, suara masyarakat dan suara pejuang Islam dalam kedua-dua parti,” katanya.

Menurutnya, bagi PN pula tidak dibawa secara serius dalam Majlis Syura Ulamak untuk dibincangkan baik dan buruknya.

“Bila PN dibawa ke Muktamar Pas..bila PN dibawa ke Majlis Syura untuk dibincang baik dan buruknya. Bila? Tiada..saya menyatakan tidak ada. PN tidak dibawa ke dalam Majlis Syura secara serius dibentangkan semua fakta dan diluluskan oleh Majlis Syura..tidak ada..saya ulang tidak ada..saya ulang kepada ahli-ahli Pas yang mendengar bicara ini..Majlis Syura tidak ada membincangkan membabitkan PN.

“Hatta penubuhan PN sebagai sebuah parti pun tidak dibincang secara panjang lebar dalam Majlis Syura sedangkan dalam Perlembagaan parti menyatakan untuk kerjasama dengan parti lain mesti dengan persetujuan Majlis Syura

“Jadi kalau PN penubuhannya itu caranya berbanding penubuhan MN. Maka bila bertembung dua keadaan apa yang patut dipilih?” soalnya. – Malaysiapost

Komen