PBS sokong cadangan tiga TPM dari Semenanjung, Sabah, Sarawak

PBS sokong cadangan tiga TPM dari Semenanjung, Sabah, Sarawak

PARTI Bersatu Sabah (PBS) mengalu-alukan cadangan mewujudkan tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), masing-masing dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang disifatkan sepatutnya sudah lama dilaksanakan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata perkara berkaitan pelantikan TPM bagi Sabah dan Sarawak telah dibincangkan dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu berkata ia berikutan permintaan awam, khususnya rakyat Sabah dan Sarawak agar kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan terbabit.

Ujarnya, usaha merealisasikan cadangan terbabit mesti selaras dengan peruntukan Perlembagaan bagi memberi status sama rata kepada Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

“Malah, Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu sedang meneliti perkara mengenai status sama rata Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan.

Maximus berkata, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PBS sebagai rakan sekutu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mencadangkan syor TPM dari Sabah dan Sarawak sebagai agenda pertama mesyuarat pertama MKMA63 nanti.

“Ia akan mewakili Malaysia baharu dan boleh menjadi lonjakan besar bagi Persekutuan Malaysia. Saya yakin agenda ini akan dipersetujui sebulat suara oleh MKMA63,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan jawatan tiga TPM akan diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. – Malaysiapost

Komen