Pemuda Umno pula saran SPR haramkan pengundi bawa telefon bimbit

Pemuda Umno pula saran SPR haramkan pengundi bawa telefon bimbit

SELEPAS Tun Dr Mahathir Mohamad, kini giliran Pemuda Umno pula meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengharamkan pengundi membawa masuk telefon bimbit ke pusat pengundian.

Menurut Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, tindakan itu bagi menghalang pengundi merakam kertas undi yang ditanda sekali gus mengekang rasuah politik.

“SPR mesti haramkan membawa masuk telefon bimbit dan merakamkan kertas undi yang ditanda.

“Ia bagi menghalang dan mengekang sebarang bentuk rasuah politik dalam proses pengundian menjelang PRU15 pada 19 November ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Baru-baru ini, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang meminta SPR menguatkuasakan peraturan melarang telefon bimbit dibawa semasa mengundi di pusat pengundian.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, ia antara kelemahan dalam sistem pilihan raya yang mendorong kepada perbuatan rasuah.

“Jika tidak dibetulkan rasuah dan penipuan akan dilakukan dalam pilihan raya. Umpamanya telefon bimbit boleh menidakkan rahsia pengundi. Parti boleh guna maklumat untuk sogokan.

“Pengundi boleh tunjuk melalui telefon bahawa dia sudah undi parti tertentu dan parti pun hulur wang,” kata bekas Perdana Menteri itu. – Malaysiapost

Komen