PM tolak cadangan Anwar, sifatkan ‘debat bukan budaya kita’
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menolak cadangan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar calon-calon Perdana Menteri dipertemukan dalam sesi perdebatan.
Naib Presiden Umno itu berkata amalan berdebat untuk calon Perdana Menteri bukanlah budaya di negara ini, selain menganggap tiada faedah yang diperoleh daripada sesi tersebut.
“Yang pertamanya, bukan budaya kita untuk berdebat… tak pernah kita buat. Tak mendatangkan hasil pun.
“Kalau kita berdebat, dia (Anwar) akan sebut segala janji manifesto dia, termasuk janji bulan dan bintang… jadi ia tak perlu,” katanya memetik Malaysiakini.
Perdana Menteri berkata, selain itu Umno dan Barisan Nasional (BN) akan menyertai Pilihan Raya Umum pada bulan depan dengan kepercayaan yang ada pada rakyat.
Tambahan pula, katanya, ahli politik sedang sibuk berkempen di kawasan masing-masing.
Baru-baru ini, Anwar mengemukakan cadangan agar tiga calon Perdana Menteri yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dipertemukan dalam acara debat.
Untuk rekod, Anwar merupakan calon Perdana Menteri PH, manakala Ismail Sabri ditonjolkan sebagai wakil BN.
Satu lagi gabungan yang menyertai PRU15 ialah Perikatan Nasional (PN) yang menampilkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Anwar, perdebatan itu perlu memberi tumpuan kepada isu dasar dan perancangan agar kesesuaian serta kewibawaan ketiga-tiga calon terbabit dapat dinilai oleh orang ramai.
Sementara itu Ismail Sabri berkata, BN akan mengumumkan manifesto mereka tidak lama lagi.
Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata BN sedang dalam proses meneliti senarai calon yang akan dipilih untuk mewakili parti itu dalam PRU15 tidak lama lagi. – Malaysiapost