PRU15: 2,010 PPS, pusat pengundian bertindih – PM

PRU15: 2,010 PPS, pusat pengundian bertindih – PM

KERAJAAN sudah mengenal pasti 2,010 pusat pemindahan sementara (PPS) dan pusat mengundi yang bertindih di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata berikutan itu pengasingan akan dilakukan sekiranya berlaku banjir pada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, terdapat 6,010 PPS di seluruh negara di mana ada yang bertindih dengan pusat pengundian, iaitu akan digunakan sebagai PPS dan pusat mengundi, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, beliau memberi contoh, jika sekolah ada tiga blok, boleh diasingkan tempat mengundi dengan PPS.

“Biasanya sekolah akan ada tiga blok, iaitu dua blok dijadikan PPS, manakala satu lagi sebagai tempat mengundi. Lagipun banjir bukan berlaku di seluruh negara dan mungkin juga banjir tidak berlaku.

“Malah bukan bermakna lokasi di mana 2,010 pusat yang bertindih itu akan berlaku banjir, tetapi kita buat persediaan bergantung kepada keadaan.

“Jika ada tempat lain yang mana kita boleh pindahkan mangsa banjir, itu akan dilakukan. Misalnya, kita sudah buat persediaan memindahkan ke balai raya, dewan orang ramai, surau dan masjid,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kuasa juga sudah diturunkan kepada pegawai daerah untuk mengenal pasti kawasan untuk dipindahkan mangsa banjir.

“Jika perlu ditukar dan ada alternatif lain, ia boleh dilakukan,” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan, seramai 21,018 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertugas ketika musim banjir bersama 18,511 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Yang akan turut bertugas, katanya, 14,829 anggota bomba, 10,510 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan 4,367 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Semua agensi sudah bersedia dan jika jumlah itu tidak mencukupi, akan ditambah lagi. Bagaimanapun, setakat ini ia mencukupi kecuali jika berlaku banjir luar biasa serentak di seluruh negara, maka kita akan tambah,” katanya. – Malaysiapost

Komen