PRU15: Calon MIC sudah dimuktamadkan

PRU15: Calon MIC sudah dimuktamadkan

MIC sudah memuktamadkan calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Tan Sri S A Vigneswaran.

Presiden MIC itu berkata calon berkenaan sudah melalui tapisan ketat termasuk bebas kontroversi bagi memastikan mampu menang di semua kerusi ditandingi.

“Calon-calon yang kita kemukakan ini adalah individu yang telah bekerja dan menyelaras kawasan berkenaan dan yang bebas kontroversi.

“Kita sudah semak latar belakang mereka. Tak banyak pun, ada satu dua yang kontroversi dan digugurkan,” katanya ketika menghadiri Majlis Sambutan Deepavali 2022 Negeri Perak di Dewan Konvensyen Sungai Siput, hari ini.

Menurutnya, senarai nama calon akan diumumkan secara rasmi oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Vigneswaran berkata, MIC lebih realistik dalam menentukan kerusi yang akan ditandingi pada PRU15.

Menurutnya, parti itu tidak akan sewenang-wenangnya meminta lebih kerusi untuk ditandingi jika tidak ada potensi bagi memenangi kerusi tersebut.

“Sudah tentu kita akan kekalkan kerusi tradisi dan mengharapkan ada kerusi tambahan untuk ditandingi. Tetapi permintaan itu mestilah kerusi-kerusi yang boleh kita menangi,” katanya. – Malaysiapost

Komen