PRU15: Gerakan tanding 18 kerusi, guna logo PN
PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan bertanding 18 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau, berkata lima daripada kerusi Parlimen itu adalah di Pulau Pinang, negeri yang pernah menjadi kubu kuat parti itu sebelum dirampas DAP pada 2008.
“Kali ini, kita (Gerakan) akan dapat lebih kerusi berbanding ketika bersama Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang mana ketika itu Gerakan hanya bertanding 12 Parlimen dan 33 Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Setakat ini Parlimen kita ada 18 kerusi, tapi kalau ada perubahan, jangan salahkan saya,” katanya memetik Astro Awani.
Dominic berkata, Gerakan yang juga parti komponen Perikatan Nasional (PN), kini berada di peringkat akhir penelitian senarai calon yang bakal ditampilkan pada PRU15.
Menurutnya, setiap calon akan disaring termasuk dari aspek keselamatan, integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kelayakan sama ada mereka boleh diterima oleh rakyat setempat atau sebaliknya.
Beliau memberitahu, senarai calon akan diumum pada 30 Oktober secara serentak di semua negeri manakala manifesto PN akan diumum kepada rakyat pada 1 November depan.
Dalam pada itu, Dominic turut mengesahkan parti itu akan menggunakan logo PN termasuk di Pulau Pinang ketika bertanding pada PRU15.
Menurutnya, penggunaan logo PN itu telah dimuktamadkan dan tiada lagi perubahan mengenainya.
Beberapa bulan selepas kekalahan BN dalam PRU14, Gerakan mengumumkan keluar BN untuk menjadi sebuah parti bebas yang konstruktif.
Namun pada Februari tahun lalu, Gerakan menyertai gabungan PN. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Dominic Lau Hoe Chai