PRU15 peluang pengundi Tambun tamatkan hayat politik Anwar

PRU15 peluang pengundi Tambun tamatkan hayat politik Anwar

KEHADIRAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun akan meningkatkan motivasi serta semangat jentera Barisan Nasional (BN) Tambun dan BN Perak untuk bekerja lebih kuat.

Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata Anwar tiada jasa di Tambun dan beliau bukan aset penting yang mesti diberikan kemenangan.

Malah katanya, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini kesempatan terbaik kepada orang Perak untuk menamatkan hayat politik Anwar.

“Jadi biar Tambun menjadi bukti sejarah Anwar Ibrahim hilang pengaruh di sini.

“Mengalahkan Anwar bukan bermakna kita bagi kemenangan kepada Bersatu. Kerana Bersatu juga mesti dikalahkan.

“Kita yakin pertandingan tiga penjuru akan memberi kelebihan kepada calon BN,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar yang juga penyandang kerusi Parlimen Lenggong berharap pengundi Tambun sedar bahawa pimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk Anwar Ibrahim sering bertukar kawasan bertanding setiap kali PRU.

Ini kerana dakwanya, semasa menjadi wakil rakyat di kawasan sebelumnya mereka tidak bekerja untuk rakyat.

“Sebab itu mereka berpindah kawasan. Anwar dari Port Dikson ke Tambun. Jadi pemilih di Parlimen Tambun jangan tersilap langkah. Terbaik pilihan ialah BN.

“Kita mesti jadikan PRU15 medan menamatkan hayat politik Anwar dan Tun Mahathir Mohamad kerana dua watak ini telah merugikan negara sejak sekian lama,” katanya.

Minggu lalu, Anwar mengesahkan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15. – Malaysiapost

Komen