PRU15: Pendaftaran tak lulus, GTA guna nama Parti Pejuang – Tun M
TUN Dr Mahathir Mohamad memaklumkan pendaftaran Gerakan Tanah Air (GTA) tidak diluluskan.
Pengerusi Penaja itu GTA berkata sehubungan itu gerakan tersebut terpaksa menggunakan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai ganti untuk bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut bekas Perdana Menteri itu, gerakan tersebut akan bertanding di kerusi majoriti Melayu khususnya kawasan tradisi Umno.
“GTA menggunakan Pejuang dalam PRU15 ini kerana Kerajaan tidak melulus pendaftaran GTA.
“Tetapi Pejuang seperti juga GTA adalah gerakan rakyat Melayu yang prihatin akan masalah orang Melayu yang tidak dipedulikan oleh Umno,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Tambah Dr Mahathir, GTA terdiri daripada orang Melayu yang rata-rata miskin dan bermasalah.
“Dahulu orang Melayu dilindungi, oleh kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu, iaitu Umno.
“Tetapi Umno di bawah (Datuk Seri) Najib (Razak) sudah ubah perjuangan Umno dari melindungi dan memajukan orang Melayu kepada memperkayakan diri pemimpin Umno,” katanya.
GTA yang ditubuhkan awal Ogos lalu menjadi gabungan politik Melayu baharu pimpinan Dr Mahathir dan ia berhasrat untuk bertanding di 120 kerusi Parlimen pada PRU15.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, tujuan utama GTA ditubuhkan untuk melindungi dan memajukan orang Melayu, justeru gerakan berkenaan akan kembali kepada perjuangan asal Umno.
“Kerajaan GTA mampu memulihkan negara dan memajukan orang Melayu seperti Umno dahulu melakukan.
“Tumpuan kita bukan untuk dapat tempat untuk diri kita tetapi untuk memulih politik, ekonomi dan kewangan negara. Kita akan atasi kemiskinan yang melemahkan ekonomi Melayu sehingga menjual tanah air mereka,” katanya.
Sehubungan itu beliau meminta pengundi memilih Pejuang yang mewakili GTA untuk memelihara masa depan orang Melayu sekali gus menentukan hak mereka dalam negara ini. – Malaysiapost