Rakaman video Najib tidak dibuat dalam penjara – Jabatan Penjara
JABATAN Penjara Malaysia menegaskan tiada sebarang rakaman video melibatkan Datuk Seri Najib Razak dibuat mana-mana agensi media dalam premis penjara seperti mana yang ditularkan.
Perkara tersebut disahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam satu kenyataan media bersama, hari ini.
Kenyataan itu berkata, hasil semakan menunjukkan video tersebut dirakam lebih awal oleh pihak RTM sempena Kembara Keluarga Malaysia Episod 57 iaitu sebelum bekas Perdana Menteri itu dipenjarakan.
“Video yang ditayangkan di TV1 pada 24 Oktober 2022 menceritakan tentang sejarah dan latar belakang Pekan, Pahang dan tidak berkaitan dengan politik.
“Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan maklumat tanpa semakan lanjut. Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Terdahulu, tular satu hantaran di laman Facebook yang memuat naik tangkap layar memaparkan Najib sedang ditemuramah dalam rancangan di TV1 siaran RTM.
Hantaran tersebut mendakwa temuramah tersebut dirakam di dalam penjara.
Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap Najib.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang. – Malaysiapost