‘Saya tak akan lantik Tommy Thomas jika tahu dia berat sebelah’ – Dr Mahathir
TUN Dr Mahathir Mohamad mengakui tidak akan memilih Tan Sri Tommy Thomas sebagai Peguam Negara jika tahu peguam itu seorang yang berat sebelah.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang diketuainya memilih Tommy kerana ketika itu berpandangan beliau seorang yang ‘saksama dan mematuhi kedaulatan undang-undang’.
Bagaimanapun, Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu mengakui pandangan berkenaan berubah selepas Tommy menulis memoir kontroversinya, ‘My Story: Justice in the Wilderness’.
“Selepas menulis buku itu, beliau mula menyuarakan pandangannya, namun pelantikan beliau dibuat sebelum buku itu ditulis.
“Kami tahu ketika itu beliau seorang peguam yang berpegang pada kedaulatan undang-undang. Jadi, dia dilantik atas faktor itu.
“Beliau tidak berat sebelah dan berpihak pada kerajaan, malah dia amat kritikal terhadap saya ketika saya menjadi Perdana Menteri. Dia saksama, sebab itu dia dilantik.
“Jika saya perlu mengulanginya semula, saya akan melantik seorang individu yang tidak berat sebelah,” katanya seperti dilaporkan The Star hari ini.
Sebelum ini, laporan Pasukan Petugas Khas (STF) berhubung siasatan ke atas dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’, mendedahkan beberapa salah lalu Tommy ketika menjadi Peguam Negara.
Sementara itu, Dr Mahathir dalam kenyataan di Facebooknya mempersoalkan tiada sebarang siasatan atau tindakan diambil terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang didakwa tidak melakukan tugas dengan betul berhubung isu 1MDB.
Beliau mendakwa, Apandi telah melakukan kesalahan ketika menjadi Peguam Negara sebelum Tommy, dengan melepaskan Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang tindakan undang-undang.
“Ini jelas menunjuk Apandi terbabit dalam menutup skandal 1MDB, sedangkan Najib kini dipenjarakan,” katanya.
Sebaliknya, katanya, kerajaan memberi pampasan jutaan ringgit kepada Apandi kerana kerajaan terdahulu telah menamatkan perkhidmatannya atas kegagalan menjalankan tugas. – Malaysiapost