Sejak bila debat bukan budaya kita? soal Syed Saddiq

Sejak bila debat bukan budaya kita? soal Syed Saddiq

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan amalan debat bukan budaya di Malaysia.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan debat adalah cara politik sihat yang membolehkan rakyat menilai calon yang ingin diberi mandat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Sejak bila pulak debat bukan budaya kita? Bossmu (Datuk Seri Najib Razak) pun dah berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan Mei lepas.

“Bagilah peluang kepada rakyat Malaysia nak nilai calon Perdana Menteri kita.

“Inilah cara politik sihat dengan berlawan hujah dengan fakta dan data,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ismail Sabri yang menolak cadangan Anwar supaya calon Perdana Menteri dipertemukan dalam sesi perdebatan.

Naib Presiden Umno itu dilapor berkata amalan berdebat untuk calon Perdana Menteri bukanlah budaya di negara ini, selain menganggap tiada faedah yang diperoleh daripada sesi tersebut.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, seorang pemimpin perlu berani menjawab persoalan daripada rakyat mahupun seteru politik.

“Kita kalau nak beli barang pun tengok kualiti. Jangan nanti barang order dengan barang sampai lain.

“Kena tunjuk pemimpin yang bakal memimpin Malaysia ada kredibiliti. Tunjuk kepada rakyat yang bakal Perdana Menteri kita ini berani ambil sebarang cabaran.

“Barulah rakyat yakin nak mengundi calon mana nanti. Saya sokong debat antara calon-calon Perdana Menteri diadakan,” katanya. – Malaysiapost

Komen