Suami isteri maut, 4 anak yatim piatu
EMPAT beradik menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 32.3 Jalan Kuala Kangsar – Gerik – Pengkalan Hulu, Lenggong, semalam.
Kejadian 6.15 petang mengakibatkan Azranawi Radzi, 42, yang juga penunggang motosikal maut di tempat kejadian, manakala isterinya, Rosnah Ahmad, 44, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Lenggong.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, nahas itu turut mengakibatkan seorang remaja lelaki parah akibat patah betis kiri dan bahu kanan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Azranawi gagal mengelak sebuah kereta yang ingin memasuki jalan utama dari sebuah stesen minyak.
Katanya, ketika kejadian, suami isteri terbabit dalam perjalanan dari arah Gerik menghala Kuala Kangsar sebelum kereta berkenaan tiba-tiba keluar ke arah jalan utama (Jalan lama Kota Tampan-Lenggong) secara mengejut.
“Kejadian berlaku apabila kereta itu keluar secara mengejut dari simpang sebuah stesen minyak. Oleh kerana jarak terlalu dekat, motosikal dinaiki pasangan itu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi belakang sebelah kiri kereta,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Zulkifli, mangsa parah adalah penumpang kereta terbabit iaitu remaja lelaki berusia 14 tahun, manakala pemandu kenderaan lelaki berusia 47 tahun tidak mengalami kecederaan.
Ibu saudara Rosnah, Hamizura Osman, berkata pasangan suami isteri itu meninggalkan empat anak yang masih bersekolah, membabitkan tiga lelaki serta seorang perempuan, masing-masing berusia 16, 14, 12 dan tujuh tahun.
Beliau berkata, setakat ini belum ada perbincangan antara ahli keluarga mengenai penjagaan anak yang ditinggalkan pasangan itu.
“Mungkin antara kami ahli keluarga tiada masalah dan boleh menjaga mereka namun kasih sayang seperti ibu dan ayah kandung tidak serupa.
“Kalau boleh, kami hendak jaga keempat-empatnya dan perbincangan akan dibuat selepas ini untuk tidak memisahkan penjagaan antara empat beradik itu,” katanya.
Abang sulung Rosnah, Zamzuri Ahmad, 52, menyifatkan pasangan suami isteri itu pemurah dan mereka gemar membelanja saudara-mara.
“Malah, arwah Azranawi dan Rosnah sering memberi potongan harga kepada rakan yang bertandang di gerai makan diusahakan mereka di Manjoi, Ipoh.
“Mereka berdua memang bukan jenis orang yang terlalu berkira,” katanya.
Difahamkan pasangan itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Rambutan, Ipoh. – Malaysiapost