Tahniah qariah Malaysia

Tahniah qariah Malaysia

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada wakil negara, Sofizah Mousin diumum johan qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-62, semalam.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada qari Malaysia, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan muncul naib johan qari.

“Alhamdulillah, MTHQA Ke-62 dapat diadakan semalam selepas 2 tahun ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

“Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan menghadiri majlis pada malam semalam.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada wakil negara kita yang berjaya menyaingi peserta antarabangsa lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut berharap majlis agama seperti itu akan terus dilaksanakan agar dapat menyatupadukan ummah di seluruh dunia.

MTHQA kali ini menyaksikan qari Bahrain, Mohamed Sameer Mohamed Magahed dan qariah Malaysia, Sofizah Mousin, masing-masing diumum johan tilawah malam tadi.

Pada majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu, Mohamed Sameer memperoleh markah 93.33 peratus, manakala Sofizah meraih 89.66 peratus, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai dan piala.

Sementara itu, wakil Malaysia, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, muncul naib johan qari dengan markah 88.83 peratus, manakala Widadul Wahidah Mahamod dari Singapura pula muncul naib johan qariah, dengan markah 87.50 peratus.

Bertemakan “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran,” MTHQA ke-62 berlangsung selama enam hari bermula Rabu lalu, membabitkan 36 peserta dari 28 negara.

Hanya kategori tilawah yang dipertandingkan kali ini, manakala kategori hafazan akan kembali diadakan pada tahun hadapan. – Malaysiapost

Komen