Tolak import, apung harga telur walaupun kurang bekalan

Tolak import, apung harga telur walaupun kurang bekalan

PASUKAN Khas Jihad Tangani Inflasi menolak syor supaya harga telur ayam diapungkan atau diimport dari luar negara, walaupun berlaku kekurangan bekalan domestik ketika ini.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pada masa ini, terdapat kekurangan lebih 96 juta telur sebulan, berikutan pengeluaran bulanan hanya 871.9 juta berbanding keperluan sebanyak 968.8 juta telur, susulan kenaikan kos pengeluaran.

“Kita sama sekali tidak melihat opsyen import sebagai satu penyelesaian. Pertama kerana kedudukan harga telur di luar jauh lebih mahal, jadi tak mungkin kita import telur lebih mahal dan jual murah di negara kita, selain kita nak jaga industri pengeluaran tempatan.

“Jika harga telur diapungkan pula, harga dijangka melonjak tidak kurang 12 sen, maka pasukan tidak memperakukan cadangan ini walaupun pengapungan dilihat sebagai satu jalan keluar yang lebih kekal, terutama sekali mengikut pandangan pengeluar di ladang,” katanya.

Bagi menangani isu itu, Annuar berkata, pasukan berkenaan mengesyorkan supaya subsidi lapan sen bagi sebiji telur ditambah sebanyak dua sen, membabitkan implikasi kewangan RM20 juta sebulan atau harga kawalan sedia ada dinaikkan sebanyak dua sen sebiji.

Beliau berkata, ketika ini harga telur ayam pada peringkat ladang bagi gred A adalah 41 sen sebiji, gred B 39 sen dan 37 sen bagi gred C.

“Jadi kalau kos gred A 41 sen dicampur lapan sen (subsidi) berjumlah 49 sen, pendapatan pengeluar dua sen lebih rendah daripada kos pengeluaran.

“Ini menyebabkan sebahagian penternak mengambil tindakan seperti menghapuskan ayam yang mencapai umur tertentu lebih awal. Lazimnya ayam berusia mencapai usia 80 ke 85 hari yang boleh lagi bertelur, tetapi terpaksa dilupuskan untuk menjimatkan kos.

“Ayam gantian kepada yang disembelih pula pengeluarannya agak perlahan, menyebabkan keseluruhan pengeluaran terus merosot dan ini akan terus menjejaskan bekalan telur dalam negara,” katanya.

Memandangkan antara opsyen dicadangkan membabitkan implikasi kewangan dalam keadaan Parlimen dibubarkan, beliau berkata, cadangan itu sudah dirujuk kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika mesyuarat berkenaan berlangsung, kerana keputusan segera perlu dibuat.

Annuar berkata, pasukan itu meminta kerjasama pengeluar telur tidak melupuskan ayam telur pada usia lebih awal dan menggesa pihak industri, mengemukakan syor lain bagi mengatasi kekurangan bekalan lebih 96 juta telur ketika ini. – Malaysiapost

Komen