8 ‘hotspot’ banjir di Kuantan dikenalpasti
Ben Ibrahim
POLIS Kuantan mengenalpasti lapan lokasi utama berisiko banjir di daerah itu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata antara kawasan diberi tumpuan ialah pekan Sungai Lembing, Panching, Jalan Kuantan-Gambang dan sekitar jalan pintasan Kuantan-Pelabuhan.
“Selain itu, laluan utama sekitar bandar raya Kuantan juga berdepan risiko banjir kilat dan pekan Gambang.
“Kita turut memberi tumpuan kepada kawasan Beserah, Gebeng dan Kampung Ubai,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.
Terdahulu, Wan Mohd Zahari meninjau pameran dan sesi pemeriksaan aset menyelamat di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.
Beliau berkata, seramai 1,100 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi terbabit dalam operasi persediaan menghadapi banjir kali ini.
“Pegawai dan anggota ini daripada sembilan agensi antaranya Pasukan Gerakan Am (PGA), pasukan Polis Marin dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang.
“Kita juga dibantu pegawai dan anggota daripada Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia yang berpangkalan di sekitar Kuantan serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya.
Sebanyak 41 bot akan digunakan, jika berlakunya banjir di daerah itu bagi penugasan menyelamat dan memindahkan penduduk. – Malaysiapost