Abdul Hadi seakan sesumpah – Kit Siang
LIM Kit Siang mendakwa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mencemarkan nama Islam dengan menyebarkan penipuan dan fitnah serta menyifatkan tindakannya seakan sumpah-sumpah, dan bertentangan perkembangan arus perdana Islam.
Veteran DAP itu berkata, Abdul Hadi menuduh DAP adalah komunis atau pro-komunis, namun beliau pernah menandatangani persefahaman pembentukan Pakatan Rakyat, yang merupakan gabungan PAS, PKR, dan DAP pada tahun 2008.
“Pakatan Rakyat berakhir selepas Muktamar PAS pada bulan Jun 2015, apabila para pemimpin PAS di bawah Abdul Hadi memilih untuk memutuskan hubungan dengan DAP.
“Bilakah DAP menjadi komunis atau pro-komunis? Adakah sebelum 2008 dan selepas 2015, atau adakah DAP ini komunis atau pro-komunis sepanjang bersama Pakatan Rakyat dari tahun 2008 hingga 2015?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kit Siang berkata, pemimpin PAS itu juga mendakwa mengetahui lebih banyak mengenai DAP berbanding dengan Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkenal di seluruh dunia atas kemenangan Malaysia melawan pihak komunis.
“Saya pernah ditahan dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi baik pimpinan DAP mahupun saya tidak pernah dituduh sebagai “komunis” atau “pro-komunis”.
“Adakah Abdul Hadi mempunyai maklumat yang tidak dimiliki oleh Cawangan Khas yang mengatakan DAP ini “komunis” atau “pro-komunis”? katanya.
Menurutnya, kenyataan-kenyataan Abdul Hadi yang tidak masuk akal seperti “Kita (PAS) tidak suka DAP kerana mereka komunis. Tetapi semasa kita bekerjasama dengan DAP, tidak mengapa. Apabila kita bekerjasama dengan Bersatu dan UMNO, DAP menjadi komunis semula,” itulah yang telah mencemarkan nama Islam.
“Namun, sekadar mencemarkan nama Islam kelihatan tidak memadai untuk AbdulHadi, kerana mendakwa sekarang yang dialah perancang di sebalik konspirasi Langkah Sheraton untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH)pada 2020.
“Dia mengatakan yang kerajaan PH cuba untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom akibat tekanan DAP dan mendekati Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Bersatu untuk mencuba membawa pertukaran kerajaan yang akhirnya membawa kepada konspirasi Langkah Sheraton,” katanya.
Kit Siang menegaskan, pimpinan DAP langsung tidak tahu apa-apa mengenai cadangan ratifikasi ICERD dan Statut Rom berkenaan, walaupun perkara ini akhirnya sering disalahkan kepada DAP.
Menurutnya, beliau sendiri terkejut, apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bercakap di Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada September 2018 dan membuat pengumuman mengenai ratifikasi ICERD.
Beliau mendakwa, Abdul Hadi kini menjadi pemain utama politik toksik penuh penipuan, fitnah, dan perkauman serta keagamaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), yang akan memusnahkan fabrik masyarakat majmuk di Malaysia.
“Kita tidak boleh membiarkan pelampau politik penipuan, kebencian, perkauman, dan keagamaan untuk berjaya,” katanya. – Malaysiapost