Abdul Rani Kulup umum tanding Parlimen Port Dickson
AKTIVIS masyarakat, Abdul Rani Kulup Abdullah yang popular dengan panggilan ‘Ayahanda’, mengumumkan bakal bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Abdul Rani, 67, yang juga pesara tentera akan mewakili parti Barisan Penyatuan Nasional (BPN) dan menegaskan tujuannya bertanding adalah kerana mahu berbakti kepada masyarakat.
Beliau membuat keputusan untuk menyertai politik selepas lebih 20 tahun berjuang membawa suara rakyat melalui platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk selaku Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM).
“Saya adalah bekas tentera yang pencen sejak 1995 selepas berkhidmat selama 22 tahun dalam pasukan itu. Saya percaya, saya boleh membantu bukan saja warga tentera tetapi juga orang awam.
“Selama ini, saya banyak bergerak mewakili NGO berjumpa wakil rakyat untuk membantu orang ramai. Kini, sampailah masanya untuk saya berkhidmat sebagai wakil rakyat pula,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Dalam sidang media hari ini, Abdul Rani menjelaskan, hasrat beliau untuk bertanding pada pilihan raya umum adalah sejak PRU-14 lagi.
“Saya akan berkampung di Port Dickson sebaik saja penamaan calon yang dijadualkan berlangsung pada 5 November depan, hingga hari pengundian nanti.
“Kalau boleh, pengundi berilah peluang untuk saya berkhidmat kerana saya pasti banyak perkara yang saya boleh membantu masyarakat melalui sidang Parlimen,” katanya.
Abdul Rani turut kongsikan pandangannya mengenai kawasan Parlimen yang bakal menyaksikan cubaan pertama beliau menyertai persaingan politik pada pilihan raya.
“Port Dickson adalah Bandar Tentera Darat, dan saya mahu Kampung Tentera Darat wujud di sini kerana di sini lahirnya pahlawan negara. Saya percaya rata-rata warga tentera akan menganggap Port Dickson sebagai ‘kampung’ mereka.
“Kalau ikutkan hati, saya mahu bertanding di semua kerusi Parlimen, namun saya perlu bermula di sini,” katanya.
Ditanya mengenai peluangnya meraih kemenangan berikutan Parlimen Port Dickson dianggap ‘kerusi panas’ pula, Abdul Rani berkata beliau tidak peduli siapa pesaing yang akan dihadapinya nanti.
“Saya tidak peduli siapa calon lawan saya atau daripada parti politik mana. Yang pasti, saya mahu menawarkan diri untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Saya berpengalaman berkhidmat selama 22 tahun dalam pasukan tentera dengan pangkat terakhir ialah Rejimen Sarjan Mejar (RSM), dan pasti dapat membantu dalam usaha untuk mentadbir sebaik mungkin,” katanya.
Parlimen Port Dickson dijangka ‘meriah’ membabitkan pertembungan beberapa penjuru iaitu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun daripada Pakatan Harapan (PH), serta pelakon dan pengarah, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri yang akan dicalonkan Gerakan Tanah Air (GTA), setakat ini.
Pada Oktober 2018, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dengan majoriti sebanyak 23,560 undi. – Malaysiapost