Anwar seru anak muda jadi ejen penerangan, perubahan pada PRU15

Anwar seru anak muda jadi ejen penerangan, perubahan pada PRU15

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menyeru golongan anak muda supaya komited menjadi ejen penerangan dan perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anwar menerusi catatan ringkas di Facebooknya, menegaskan undi anak muda menjadi antara penentu penting terhadap masa depan negara dalam PRU15 pada 19 November ini.

“Anak-anak muda juga menjadi antara penentu penting masa depan negara dan setiap kalian harus menjadi ejen penerangan dan agen perubahan demi rakyat dan negara,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Anwar menghadiri Program Reformis dan Anak Muda Melaka anjuran Pakatan Harapan (PH), malam tadi.

“Saya menggesa mereka untuk terus mantapkan gerak kerja bagi memastikan kemenangan memihak Pakatan Harapan pada PRU15,” katanya.

Dalam hantaran berasingan, Anwar menegaskan PH kekal konsisten memperjuangkan nasib dan kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga anggota keselamatan lain.

“Kami tidak pernah berganjak dari pendirian ini. Pengorbanan dan jasa mereka tidak ada tolok bandingnya dan mesti diberi pembelaan sewajarnya.

“Saya tegaskan bahawa nasib dan hak golongan veteran ATM wajar kita bela dan tidak boleh diabaikan mengambilkira dedikasi serta pengorbanan mereka buat negara dan kedaulatannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis meraikan Veteran Tentera di Tangga Batu Melaka, semalam. – Malaysiapost

Komen