Armada mahu Jasin ditandingi calon Bersatu

Armada mahu Jasin ditandingi calon Bersatu

ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Bahagian Jasin mahu calon daripada parti berkenaan bertanding di Parlimen Jasin dan bukannya calon Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Muhammad Jefri Safry berkata, calon Bersatu adalah lebih layak bertanding di situ untuk Perikatan Nasional (PN) walaupun kerusi berkenaan secara tradisinya ditandingi Pas.

Menurutnya, jika PN menyenaraikan calon Pas, seluruh jentera Armada Bahagian Jasin tidak akan meneruskan kempen sehingga hari pengundian 19 November ini.

“Sewajarnya, pihak atasan PN dan Bersatu mendengar suara anak muda di Jasin yang mahukan calon daripada Bersatu diangkat bertanding di Jasin pada PRU-15 nanti.

“Tuntutan agar calon Bersatu mewakili PN bertanding di sini dibuat berdasarkan ketetapan yang diputuskan sewaktu Persidangan Armada Bahagian Jasin baru-baru ini.

“Calon daripada Bersatu sebenarnya lebih relevan untuk diangkat bertanding di sini dan kita mempunyai calon berwibawa untuk diketengahkan,” katanya dalam sidang akhbar di Kelab Golf Heritage Jasin, hari ini seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Difahamkan, Mesyuarat PN Melaka sebelum ini bersetuju Pas bertanding di Jasin dan Tangga Batu manakala tiga lagi kerusi iaitu Hang Tuah Jaya, Masjid Tanah serta Alor Gajah diberikan kepada Bersatu, dan Gerakan pula di Kota Melaka.

Mengulas lanjut, Muhammad Jefri berkata, Bersatu mempunyai tiga pemimpin berkaliber untuk diketengahkan sebagai calon di Parlimen berkenaan.

Menurutnya, mereka ialah Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub; Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Jasin, Mustafa Ahmad dan Setiausaha Srikandi Bersatu, Azalina Abdul Rahman.

“Berdasarkan prestasi sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November lalu, tiga calon daripada Bersatu dan dua dari Pas yang bertanding, hanya kerusi DUN Bemban dimenangi.

“Oleh yang demikian, kemenangan satu kerusi di Bemban dan kekalahan tipis di Rim dan Sungai Rambai berbanding Pas, membuktikan calon Bersatu adalah layak bertanding di Parlimen Jasin,” katanya. – Malaysiapost

Komen