Bomba tiba di lokasi nahas helikopter, 6 mangsa dihantar ke hospital
PASUKAN bomba sebentar tadi tiba di lokasi helikopter yang terhempas berhampiran Tanah Rata di Cameron Highlands.
Sejurus itu, usaha menyelamatkan kesemua enam mangsa terdiri juruterbang serta penumbang helikopter jenis Airbus AS 355 F2 itu segera dilakukan.
Difahamkan seorang mangsa dilaporkan retak tulang paha, manakala yang lain cedera ringan.
Menurut bomba, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut.
Terdahulu Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan menerima maklumat berhubung nahas melibatkan helikopter dengan nombor pendaftaran 9M-SSW pada 1.03 tengah hari tadi.
Ketika kejadian, helikopter itu yang dikendalikan oleh Layang Layang Aerospace Sdn Bhd berlepas dari Kampung Gawin ke Tanjung Rambutan, Perak pada jam 12.20 tengah hari.
Unit mencari dan menyelamat pertama melalui jalan darat telah digerakkan ke lokasi kejadian 19 minit kemudian bagi usaha mencari serta menyelamat. – Malaysiapost