GIATMARA kemahiran berkelas dunia

GIATMARA kemahiran berkelas dunia

DUA wakil negara Nur Izzah Sofiya Mat Khalit dan Nur Aliah Nadhirah Yusri mengharumkan nama negara khususnya GIATMARA dengan kejayaan di Pertandingan Worldskills 2022 Edisi Khas di Helsinki, Finland, kelmarin.

Kedua-dua mereka yang berhempas pulas menyiapkan tugasan dari hari pertama sehingga terakhir dengan sepenuh tumpuan berjaya menunjukkan pencapaian yang membanggakan dalam bidang masing-masing.

Kejayaan itu dikongsikan di laman Facebook GIATMARA Malaysia membabitkan Izzah dalam bidang Teknologi Fesyen, manakala Aliah pula dalam bidang Terapi Kecantikan.

“Hasilnya, Izzah atau lebih mesra dikenali dengan nama Amoi telah berjaya memperolehi Medallion For Excellent bagi bidang Fashion Technology. Manakala Aliah menduduki tempat ke-10 dunia bagi bidang Beauty Therapy.

“Sekali lagi tahniah kepada Izzah dan Aliah serta jurulatih-jurulatih mereka.Terima kasih juga diucapkan kepada semua warganet yang sentiasa mendoakan kejayaan mereka,” menurut perkongsian itu.

Gadis dari GIATMARA Kuala Lumpur dan GIATMARA Prima Tasek Gelugor ini membuktikan kemahiran di GIATMARA berada di kelasnya yang tersendiri dan kemahiran berkelas dunia. – Malaysiapost

Komen