IKATAN pilih sokong BN

IKATAN pilih sokong BN

GAGASAN Sejahtera merangkumi Pas, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Berjasa yang ditubuhkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018, kini ibarat kubur tanpa batu nisan.

Ketua Penerangan IKATAN, Nik Marhalim Mohd Bakri, berkata keadaan itu berlaku apabila Pas telah memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN), manakala Berjasa pula memilih untuk bersama Gerakan Tanah Air (GTA) dalam PRU-15.

“Gagasan Sejahtera kini ibarat kubur tanpa batu nisan.

“Keadaan sama turut berlaku kepada Muafakat Nasional (MN) di mana Pas mewakili Gagasan Sejahtera dan Umno mewakili Barisan Nasional (BN), di mana penubuhan MN untuk menyatukan ummah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.  

Menurutnya, atas semangat penyatuan ummah, maka IKATAN memilih untuk menyokong BN pada PRU-15.

“Seluruh keahlian serta jentera IKATAN di seluruh negara, termasuk di Sabah akan digerakkan untuk membantu calon-calon pilihan raya Umno dan BN agar mencapai kemenangan sebesar-besarnya, Insya-Allah.

“IKATAN harus kekal pada tujuan penubuhannya yang asal iaitu sebuah parti berbilang kaum tetapi tetap meneruskan perjuangan Umno dan BN yang asal.

“Perjuangan IKATAN adalah untuk membangunkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, adil, saksama dan bahagia,” katanya. – Malaysiapost

Komen