Majlis Peguam sepatutnya sertai siasatan buku Tommy Thomas – Shahrir
VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyoal tindakan Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) yang menolak penglibatan dalam siasatan berkaitan siasatan buku memoir Tan Sri Tommy Thomas.
Beliau berkata, Majlis Peguam perlu memahami apa yang dimaksudkan dengan integriti.
“Setelah menolak jemputan untuk menyertai dalam siasatan terhadap kandungan buku Tommy Thomas, apabila selesai penyiasatan baru pula persoalkan ‘kesaksamaan’ badan penyiasat.
“Sepatutnya, sertailah penyiasatan apabila dijemput untuk tentukan ‘kesaksamaan’ itu berlaku. Bukannya apabila sudah selesai penyiasatan, baru kononnya nak tegakkan ‘kesaksamaan’!
“Jelas sangat Majlis Peguam tiada integriti!,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Sebelum ini, Majlis Peguam mendakwa bimbang dengan penyahklasifikasian laporan mengenai dakwaan yang dibuat oleh Tommy Thomas dalam memoir tulisannya dan mempersoalkan kesaksamaan pasukan petugas yang menyiasat dakwaan itu.
Menurut Presidennya, Karen Cheah, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui bahawa beliau menyahklasifikasi laporan itu supaya ia boleh digunakan sebagai ‘peluru’ politik untuk menyerang pembangkang.
Cheah berkata, Majlis Peguam mengambil isu mengenai keabsahan pasukan petugas itu, kerana pendekatan yang sepatutnya adalah melalui penyiasatan bebas di bawah Suruhanjaya Siasatan Diraja. – Malaysiapost