Malaysia bukan tempat pembuangan sisa plastik haram negara luar – Tuan Ibrahim

Malaysia bukan tempat pembuangan sisa plastik haram negara luar – Tuan Ibrahim

KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) tidak pernah berdiam diri berhubung isu lambakan sisa plastik import haram di pelabuhan-pelabuhan negara.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pelbagai tindakan sudah dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) termasuk meneruskan penguatkuasaan dan menghantar semula kontena plastik haram ke negara asal.

Beliau berkata, terdapat lima fakta utama bagi menjelaskan isu import sisa plastik haram ke Malaysia.

“Pertama, isu import plastik haram mula diberi perhatian sejak Mac 2019; kedua, JAS diminta hantar semula kontena sisa plastik haram; dan ketiga, pengimport dikesan membuat ikrar palsu serta tidak patuh syarat Jabatan Pengurusan Sistem Pepejal Negara (JPSPN).

“Keempat, Selangor ialah negeri paling banyak premis kitar semula plastik; dan kelima, sejumlah 286 kontena plastik haram telah dihantar pulang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Tuan Ibrahim turut menegaskan Malaysia bukan tempat pembuangan plastik haram negara luar dan kerajaan tidak berkompromi mengenainya. – Malaysiapost

Komen