MCA terus mainkan peranan dalam hubungan akrab Malaysia-China. – Ka Siong
MCA akan terus memainkan peranan aktif dan mengekalkan hubungan rapat dengan kerajaan China serta menjaga hubungan baik Malaysia-China.
Presidennya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menyatakan pendirian itu ketika berucap dalam majlis resepsi ‘China’s Future: Development and Opportunities’ di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, MCA telah menjalin kerjasama erat dengan parti pemerintah China dan mengintegrasikan inisiatif Jalur dan Laluan seiring dasar pembangunan negara.
“Hubungan baik ini akan dimanfaatkan dengan membawa kejayaan yang lebih besar dalam pelbagai sektor dan bidang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau menzahirkan rasa berbesar hati diundang ke majlis berkenaan yang turut dihadiri Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing; Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon.
Ka Siong juga mengucapkan tahniah kepada parti pemerintah kerajaan China (CPC) atas kejayaan penganjuran Kongres Kebangsaan CPC ke-20 yang baru selesai dan pemilihan Jawatankuasa Tetap Biro Politik yang baharu. – Malaysiapost