Nahas helikopter babitkan pegawai PKD Kinta – KJ
HELIKOPTER yang dilaporkan membuat pendaratan kecemasan di kawasan berhampiran Brinchang, Cameron Highlands tengah hari tadi adalah dinaiki oleh Pasukan Doktor Udara (FDU) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata pasukan berkenaan dalam perjalanan pulang ke Ipoh menaiki helikopter berkenaan selepas selesai membuat lawatan berkala ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.
“Kejadian membabitkan FDU PKD Kinta dan notifikasi kejadian diterima oleh Hospital Sultanah Hajjah Kalsom (HoSHKA), Cameron Highlands pada jam 1.50 tengah hari daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands.
“Jumlah mangsa terbabit adalah seramai enam orang yang terdiri daripada seorang Pegawai Perubatan, seorang Penolong Pegawai Perubatan, seorang Jururawat Kesihatan, seorang Pembantu Kesihatan Awam, seorang Jururawat Masyarakat dan seorang juruterbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua mangsa dilaporkan selamat dan pasukan penyelamat telah menjalankan operasi membawa mangsa ke zon rawatan.
“Dua pasukan perubatan kecemasan diketuao seorang pakar perubatan kecemasan juga digerakkan ke tempat kejadian dari HoSHKA.
“Semua mangsa dibuat penilaian terlebih dahulu oleh pasukan petugas perubatan di zon rawatan apabila dibawa keluar dari tempat nahas.
“Mangsa yang stabil akan dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, manakala bagi mangsa yang mengalami kecederaan akan distabilkan terlebih dahulu di HoSHKA sebelum dirujuk ke HRPB,” katanya.
Beliau berkata, setakat jam 7 malam tadi empat mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa keluar dari tempat nahas ke zon rawatan untuk dilakukan penilaian perubatan.
“Dua daripadanya dirujuk ke HoSHKA untuk pemeriksaan lanjut dan penilaian semula status Kesihatan masing-masing, manakala dua lagi masih di zon rawatan.
“Sementara dua lagi mangsa sedang dibawa keluar ke zon rawatan,” katanya.
Khairy Jamaluddin berkata, setakat ini punca helikopter berkenaan membuat pendaratan kecemasan masih dalam siasatan dan perkembangan terkini kejadian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Malaysiapost