Nik Omar bertanding di Perak
NIK Omar Nik Abdul Aziz bakal bertanding di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mewakili Pakatan Harapan (PH).
Perkara itu disahkan Pengerusi PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim namun tidak dinyatakan kerusi Parlimen mana yang bakal ditandingi anak bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu.
Pada PRU14 lalu, Nik Omar bertanding mewakili PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, iaitu kubu kuat Allahyarham bapanya namun tewas kepada calon PAS.
“Beliau akan bertanding di Perak,” kata Anwar dalam sidang media khas di ibu pejabat PKR, di Tropicana, Petaling Jaya, hari ini.

Dalam sidang media itu, Anwar yang juga Pengerusi PH mengumumkan tujuh tokoh daripada pelbagai bidang bakal menjadi calon PKR sekali gus bertanding atas tiket PH pada PRU15 ini.
Anwar menegaskan, PKR memandang tinggi harapan dan kehendak rakyat supaya parti politik menampilkan gabungan calon daripada pelbagai latar belakang yang berwibawa.
Selain Nik Omar, enam yang dipilih menjadi calon PKR ialah bekas Setiausaha Kerajaan Perak, Datuk Zainal Abu Seman; Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin, Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Pensyarah Kanan Jabatan Parasitologi Universiti Malaya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz; bekas Ketua Pegawai Ekskutif Lembaga Zakat Selangor, Saipol Yazan Yusop; bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha dan calon muda berusia 28 tahun, Fathin Amelina Fazlie.
Anwar menjelaskan, pengumuman enam calon itu adalah sebahagian proses parti dalam menentukan senarai calon yang bertanding pada PRU15 ini.
“Ini sebahagian daripada proses. Senarai penuh akan diumumkan secara rasmi pada 28 Oktober ini,” katanya. – Malaysiapost