Pejabat Presiden PAS nafi Hadi kata Anwar ahli Freemason

Pejabat Presiden PAS nafi Hadi kata Anwar ahli Freemason

PEJABAT Presiden PAS menafikan kononnya Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah menyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah ahli kumpulan sulit Freemason sedunia.

Menerusi satu kenyataan, Pejabat Presiden PAS menegaskan Abdul Hadi tidak pernah mengungkapkan tuduhan tersebut seperti dinyatakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

“Merujuk kepada suatu laporan berita dan petikan video ucapan Presiden PKR yang mendakwa kononnya Presiden PAS mengatakan beliau adalah ahli Freemason sedunia.

“Pihak kami dengan ini terpanggil untuk menafikan dakwaan tersebut, malah untuk rekod Presiden PAS tidak pernah mengungkapkan tuduhan yang dikatakan itu.

“Adalah ditegaskan menjelang PRU15 ini, PAS tetap menolak budaya politik fitnah, janji kosong dan tuduhan palsu yang tidak berasas sama sekali,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu juga memetik pepatah Arab yang berbunyi “Dia yang memukul saya, dia pula yang menangis. Dia yang menzalimi saya, dia pula yang mengadu dizalim.”

Sebelum ini, Anwar mendedahkan Presiden PAS pernah terkhilaf apabila menuduh beliau pro Yahudi dan ahli kumpulan sulit Freemason melalui satu surat terbuka kepada ulama dunia sebelum ini.

Bagaimanapun, Presiden PKR itu kesal apabila duta khas bertaraf menteri itu enggan memohon maaf kepadanya. – Malaysiapost

Komen