Pemuda Umno lapor polis terhadap Tun M, Tommy Thomas

Pemuda Umno lapor polis terhadap Tun M, Tommy Thomas

PEMUDA Umno mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Tommy Thomas disiasat segera berhubung dakwaan yang terkandung dalam laporan pasukan petugas khas terhadap buku yang ditulis bekas Peguam Negara itu.

Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Hasmuni Hassan berkata, laporan polis dibuat hari ini berhubung perkara itu yang kedua-dua mereka dipercayai telah menyalah guna kuasa ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Datuk Hasmuni Hassan.

“Berdasarkan laporan pertugas khas, jelas dan nyata bahawa Dr Mahathir dan Thomas telah dengan sedar dan niat melakukan satu pakatan untuk memperdaya dan menipu Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja Raja, perbuatan ini boleh terjumlah kepada kesalahan menderhaka kepada raja dan negara.

“Saya mohon satu siasatan menyeluruh ke atas Dr Mahathir dan Thomas berdasarkan bukti dan keterangan yang didedahkan dalam laporan siasatan petugas khas, mereka perlu tangkap, didakwa dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

Menjelaskan mengenainya, Hasmuni berkata, terdapat penyataan di muka surat 34 laporan petugas khas yang membuktikan wujudnya pakatan tersebut.

“Saya merujuk kepada laporan petugas khas buku Tommy Thomas “Justice in the Wilderness”, di bahagian “Evaluation of Allegation” di muka surat 34, laporan itu menyatakan Suruhanjaya Pelantikan Kahakiman pada 24 Mei 2018 telah memilih dan mencalonkan nama nama berikut untuk menyandang tiga jawatan teratas Badan Kehakiman;

a) Yang Arif Tan Sri Azahar Mohamed sebagai Ketua Hakim Negara; b) Yang Amat Arif Tan Sri Rohana binti Yusof sebagai Presiden Mahkamah Rayuan; dan

c) Yang Arif Dato’ Abdul Rahman bin Sebli sebagai Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak

dan pada 13hb June 2018 Ketua Hakim Negara ketika itu Yang Amat Arif Tun Mohamed Raus Sharif telah menyerahkan senarai nama pilihan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman kepada Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir bin Mohamed untuk dipersembahkan kepada Duli Yang maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agung untuk dibawa kepada Majlis Raja Raja untuk mendapat perkenan pelantikan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Hasmuni berkata, menurut laporan petugas khas di muka surat 29 para (c) dan dimuka surat 34 para (ii), senarai nama yang Perdana Menteri ketika itu iaitu Dr Mahathir persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, bukanlah nama-nama yang telah dipilih oleh Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman tetapi adalah nama nama berikut;

“Yang Arif Tan Sri Datuk Panglima Richard Malanjun sebagai Ketua Hakim Negara, Yang Arif Tan Sri Datuk Sri Ahmad bin Maarop sebagai Ketua Mahkamah Rayuan, Yang Arif Tan Sri Zaharah binti Ibrahim sebagai Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya dan Yang Arif Datuk David Wong Dak Wah sebagai Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

“Yang mana nama-nama ini telah dipilih secara sulit antara beliau (Tun M) dan peguam negara ketika itu iaitu Tommy Thomas,” katanya.

Justeru itu, Hasmuni menegaskan, Dr Mahathir dan Thomas telah melanggar peruntukan undang-undang yang dengan jelas dan teliti menetapkan suatu garis panduan yang ketat yang perlu dipatuhi dalam pelantikan kehakiman. – Malaysiapost

Komen