Pengendali industri penerbangan perlu waspada cuaca buruk – Ka Siong

Pengendali industri penerbangan perlu waspada cuaca buruk – Ka Siong

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, mengarahkan pegawai yang berkaitan untuk menambah baik dan mengekalkan pemeriksaan pematuhan keselamatan di kalangan pengendali swasta dalam industri penerbangan tempatan.

Beliau mengeluarkan arahan berkenaan susulan nahas udara terbaru membabitkan sebuah helikopter di Tanah Rata, Cameron Highlands, hari ini.

Menurutnya, pihak yang berkenaan juga perlu lebih berwaspada lebih-lebih lagi faktor cuaca buruk pada ketika ini.

“Dimaklumkan bahawa berlaku satu lagi kejadian nahas membabitkan sebuah helikopter di Tanah Rata, Cameron Highlands.

“Apa yang paling penting, juruterbang bersama lima penumpang berjaya ditemui selamat dan memerlukan rawatan susulan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan tugas sehabis baik dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kesemua enam mangsa nahas berkenaan.

Menurutnya, operasi SAR itu adalah di bawah penyelarasan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan kini mangsa-mangsa dibawa ke hospital.

“Saya memantau keadaan dan situasi yang dikemaskini oleh CAAM dari semasa ke semasa.

“Manakala Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan lanjut berhubung nahas ini,” katanya.

Terdahulu CAAM dalam satu kenyataan mengesahkan menerima maklumat berhubung nahas melibatkan helikopter dengan nombor pendaftaran 9M-SSW pada 1.03 tengah hari tadi.

Ketika kejadian, helikopter jenis Airbus itu yang dikendalikan oleh Layang Layang Aerospace Sdn Bhd berlepas dari Kampung Gawin ke Tanjung Rambutan, Perak pada jam 12.20 tengah hari.

Unit mencari dan menyelamat pertama melalui jalan darat telah digerakkan ke lokasi kejadian 19 minit kemudian bagi usaha mencari serta menyelamat. – Malaysiapost

Komen