PN tak letak calon ada kes mahkamah – Hamzah
PERIKATAN Nasional (PN) tidak akan meletakkan calon bermasalah dan mempunyai kes mahkamah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“PN tidak akan membiarkan mereka (individu bermasalah) menjadi calon. Tengok parti lain, adakah mereka akan mengikut cara sama,” kata Setiausaha Agung PN itu, lapor Berita Harian.
Sehubungan itu, katanya, PN hanya akan bekerjasama dengan agensi penguat kuasa untuk memeriksa latar belakang calon bagi memastikan mereka tidak terbabit kes mahkamah dan jenayah, begitu dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri ditemui selepas Perasmian Simposium Sains Forensik Kebangsaan Untuk Penguatkuasaan Undang-Undang (NAFSLE) Edisi Ketiga di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, hari ini.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, pemilihan calon memiliki rekod bersih penting kerana dapat membantu membentuk kerajaan stabil.
“Biarlah pemimpin yang menjadi MP (Ahli Parlimen) nanti bersih, barulah (kerajaan) stabil.
“Stabil adalah apabila wujud kumpulan bersih, tiada kes mahkamah, tidak boleh dipersoalkan dan tidak mempunyai (rekod) jenayah.
“Biarlah orang tidak boleh mempersoalkan integriti daripada dia menjadi calon hinggalah kembali kepada rakyat… biarlah bersih,” katanya. – Malaysiapost